Dr. Ahmad Sanusi Azmi

1. Menurut Harian Metro, hampir 400 orang termasuk bekas ahli kumpulan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) mengadakan perjumpaan di Kajang. Perhimpunan semalam telah banyak menimbulkan persoalan dikalangan netizan.

2. Kehadiran ADUN DAP Ronnie Liew dalam majlis tersebut menjadi perhatian. Adakah DAP mempunyai hubungan dengan ideologi komunis yang suatu masa dahulu telah membunuh pejuang Melayu kita?

3. Mengapa tempat perhimpunan tersebut diadakan di Kolej New Era? Seperti yang telah menjadi perbualan sebelum ini, Kolej New Era merupakan institusi pendidikan swasta yang mendapat sumbangan ratusan ribu ringgit melalui majlis yang dihadiri oleh Lim Guan Eng dan Teo Nie Ching. Adakah DAP mempunyai matlamat menyokong institusi yang membenarkan ideologi komunis?

4. Bagaimana perhimpunan gerakan yang pernah melakukan tindakan keganasan seperti ini boleh diterima? Adakah sekiranya kumpulan seperti LTTE, ISIS dan al-Maunah mengadakan perhimpunan seperti ini boleh dibenarkan juga?

5. Siapa pula yang dijemput bagi menghadiri perhimpunan memperingati kedamaian ini? Adakah hanya bekas komunis sahaja yang dijemput? Mengapa tidak dibuka kepada yang lain bagi memperingati perjanjian kedamaian ini? Mengapa kebanyakan yang hadir bekas ahli komunis?

6. Berwaspadalah dengan ideologi Komunis. Dalam Islam, pemikiran Komunisme pada hakikatnya akan merosakkan asas beragama dalam masyarakat. Ini kerana, asas pemikiran mereka menolak perkara yang kita imani bahkan komunisme memandang buruk kepada agama malah melihat agama sebagai candu kepada manusia.

7. Dalam perkara ini al-Qardawi menegaskan, bahawa kerosakan fahaman ini mestilah dibendung. Ia merosakkan kefahaman kita tentang Islam. Kata al-Qardawi:

الشيوعية مذهب مادي، لا يعترف إلا بكل ما هو مادي محس، ويجحد كل ما وراء المادة، فلا يؤمن بالله، ولا يؤمن بالوحي، ولا يؤمن بالآخرة، وبهذا ينكر الأديان جملة وتفصيلاً

“Fahaman komunis adalah mazhab fizikal yang hanya mempercayai perkara yang boleh dilihat dan dipegang sahaja. mereka menolak segala perkara yang bersifat metafizik. dengan itu mereka tidak beriman kepada Allah, wahyu maupun hari akhirat. Dengan itu fahaman ini menyanggah kepercayaan beragama secara total.”

8. Dengan itu adalah wajar bagi pihak berkuasa untuk menyiasat dan berwaspada dengan aktiviti seperti ini. Adakah perhimpunan ini cuba mengembalikan semula perjuangan ideologi komunis? Mengapa mereka mendapat sokongan? Dan siapa yang mendokong mereka?

Semoga Allah menyelamatkan Malaysia dari pemikiran yang bercanggah dengan Islam.

 

 

Telegram Subscribe Banner